Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 19 >> 

Seorang Lewi dengan Gundiknya

1Pada masa Israel belum mempunyai raja, ada seorang Lewi yang tinggal di pedalaman kawasan perbukitan Efraim. Dia mempunyai seorang gundik yang berasal dari Betlehem di Yehuda.

2Tetapi kemudian gundiknya itu marah terhadapnya, lalu dia kembali ke rumah bapanya di Betlehem. Setelah perempuan itu tinggal di sana selama empat bulan,

3orang Lewi itu pergi menyusul gundiknya dan cuba memujuk dia kembali kepadanya. Orang Lewi itu membawa seorang hamba dan dua ekor keldai bersama-samanya. Setiba di sana, gundiknya itu membawa dia kepada bapanya. Ketika bapa perempuan itu nampak orang Lewi itu, dia menyambutnya dengan mesra,

4lalu mendesaknya supaya jangan pulang. Orang Lewi itu tinggal di situ selama tiga hari dan makan minum serta bermalam di situ dengan gundiknya.

5Pada pagi hari keempat, mereka bangun pagi-pagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata kepada orang Lewi itu, "Makanlah dahulu sebelum kamu pergi. Kamu akan berasa lebih bertenaga. Selepas itu bolehlah kamu berangkat."

6Oleh itu orang Lewi itu duduk, lalu makan dan minum bersama-sama bapa perempuan itu. Kemudian bapa perempuan itu berkata, "Tinggallah semalam lagi dan bersenang-senanglah."

7Orang Lewi itu bangun hendak berangkat, tetapi bapa perempuan itu mendesak supaya dia tinggal. Oleh itu orang Lewi itu tinggal semalam lagi.

8Pada hari kelima, orang Lewi itu bangun pagi-pagi lagi hendak berangkat. Tetapi bapa perempuan itu berkata, "Makanlah dahulu. Nantilah berangkat." Oleh itu mereka berdua makan bersama-sama dan berlambat-lambat sampai matahari mulai terbenam.

9Apabila orang Lewi itu, gundiknya, dan hambanya hendak berangkat, bapa perempuan itu berkata, "Lihatlah, hari sudah hampir malam. Lebih baik kamu bermalam di sini dan bersenang-senang. Esok kamu boleh bangun pagi-pagi dan berangkat pulang."

10Tetapi orang Lewi itu tidak mahu menginap lagi. Dia dan gundiknya berangkat, bersama-sama hambanya dan dua ekor keldainya yang berpelana. Ketika hari hampir malam, mereka sampai dekat Yebus (iaitu Yerusalem). Oleh itu hambanya berkata kepadanya, "Tuan, marilah kita berhenti dan menginap di kota orang Yebusi ini."

11(19:10)

12Tetapi tuannya berkata, "Tidak! Kita tidak akan berhenti di kota orang bukan Israel. Kita akan meneruskan perjalanan sedikit lagi dan menginap di Gibea atau Rama."

13(19:12)

14Oleh itu mereka melalui Yebus dan meneruskan perjalanan. Matahari telah terbenam ketika mereka tiba di Gibea, di wilayah suku Benyamin.

15Mereka singgah di kota itu kerana hendak menginap di sana. Mereka duduk di lapangan kota, tetapi tiada sesiapa pun yang menjemput mereka bermalam di rumah.

16Sementara mereka duduk di lapangan kota, datanglah seorang tua yang baru pulang dari pekerjaannya di ladang. Orang tua itu berasal dari perbukitan Efraim tetapi sekarang dia tinggal di Gibea. (Kebanyakan penduduk di situ orang suku Benyamin.)

17Apabila orang tua itu nampak orang Lewi itu di lapangan kota, dia bertanya kepadanya, "Kamu dari mana dan kamu hendak ke mana?"

18Orang Lewi itu menjawab, "Kami baru datang dari Betlehem di Yehuda dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di pedalaman perbukitan Efraim. Saya berasal dari sana. Tiada sesiapa pun yang hendak memberi kami penginapan di kota ini.

19Kami mempunyai cukup bekalan. Kami ada jerami dan makanan untuk keldai kami, dan juga roti serta wain untuk gundik dan hamba saya."

20Orang tua itu berkata, "Silalah datang ke rumah saya! Saya akan memenuhi segala keperluan saudara-saudara. Janganlah bermalam di lapangan kota."

21Kemudian dia membawa mereka ke rumahnya dan memberi keldai-keldai mereka makanan. Setelah tetamunya mencuci kaki, mereka makan dan minum.

22Sedang mereka bersuka-suka, tiba-tiba beberapa orang yang sumbang laku dari kota itu mengepung rumah itu, lalu mula memukul-mukul pintu. Mereka berkata kepada orang tua itu, "Serahkanlah lelaki yang di rumahmu itu. Kami hendak memburit dengan dia!"

23Orang tua itu keluar dan berkata kepada mereka, "Tolonglah, saudara-saudara. Janganlah lakukan perbuatan jahat itu! Orang ini tetamu saya.

24Nanti saya akan memberikan gundiknya dan anak dara saya sendiri. Ambillah mereka. Puaskanlah diri kamu dengan mereka. Tetapi janganlah lakukan perbuatan jahat itu terhadap tetamu saya!"

25Tetapi kerana mereka tetap mendesak, orang Lewi itu menolak gundiknya keluar untuk mereka. Kemudian mereka memperkosa perempuan itu dengan tidak henti-henti sehingga pagi.

26Pada waktu subuh perempuan itu kembali, tetapi di depan pintu rumah orang tua itu, tempat suaminya menginap, dia jatuh. Dia masih di situ apabila matahari terbit.

27Pagi itu, ketika suaminya bangun dan membuka pintu untuk berangkat, dia mendapati gundiknya tergeletak di depan pintu dengan tangannya berpegang pada pintu.

28"Bangunlah, mari kita berangkat," katanya. Tetapi perempuan itu tidak menyahut. Kemudian dia mengangkat mayat perempuan itu dan meletakkannya di atas keldai lalu pulang ke rumahnya.

29Setibanya di rumah, dia masuk dan mengambil pisau, lalu memotong-motong mayat gundiknya, menjadi dua belas potongan. Kemudian dia mengirim potongan-potongan mayat itu kepada dua belas suku Israel, masing-masing satu potong.

30Tiap-tiap orang yang nampak potongan mayat itu berkata, "Belum pernah kami mendengar perkara seperti ini! Perkara ini belum pernah terjadi sejak orang Israel meninggalkan Mesir! Kita mesti berunding untuk bertindak!"


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel