Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 41 >> 

Yusuf mentafsir mimpi Firaun

1Genap dua tahun selepas itu, bermimpilah Firaun. Kelihatan ketika dia berdiri di tepi Sungai Nil

2tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang.

3Sesudah itu muncul pula tujuh ekor lembu lain yang buruk bentuknya dan kurus badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu berdiri di sisi lembu-lembu yang terdahulu di tepi Sungai Nil itu.

4Kemudian lembu-lembu yang buruk bentuknya dan kurus itu memakan ketujuh-tujuh ekor lembu yang baik bentuknya dan gemuk tadi. Lalu terjagalah Firaun.

5Firaun tertidur lagi dan bermimpi untuk kali keduanya. Kelihatan tujuh bulir gandum yang gemuk dan baik tumbuh pada satu batang.

6Tidak lama kemudian tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu oleh bahang angin timur.

7Lalu ketujuh-tujuh bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang gemuk dan berisi. Firaun pun terjaga lagi dan menyedari bahawa dia sebenarnya bermimpi!

8Maka pada pagi harinya resahlah hatinya. Dia mengerah orang untuk memanggil semua ahli ilmu ghaib Mesir serta semua orang berilmu, lalu menceritakan mimpinya kepada mereka. Namun begitu tiada seorang pun dapat mentafsirkannya untuk Firaun.

9Maka berkatalah ketua jururasa santapan kepada Firaun, “Hari ini hamba teringat kesalahan hamba.

10Dahulu Firaun pernah murka kepada pegawai-pegawainya, kemudian hamba berserta kepala pembuat roti dimasukkan ke dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja.

11Pada malam yang sama, kami, iaitu hamba dan rakan hamba itu, bermimpi. Mimpi kami masing-masing memiliki tafsirannya tersendiri.

12Bersama-sama kami di sana ada seorang pemuda Ibrani, hamba ketua pengawal diraja. Kemudian kami menceritakan mimpi kami kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi kami masing-masing.

13Ternyata, tepat seperti yang ditafsirkannya kepada kami, demikianlah yang terjadi. Hamba dikembalikan kepada kedudukan hamba, dan rakan hamba itu digantung.”

14Maka Firaun memerintahkan orang untuk memanggil Yusuf, dan dengan segera dia dikeluarkan dari kurungan. Setelah bercukur dan berganti pakaian, masuklah dia menghadap Firaun.

15Kata Firaun kepada Yusuf, “Aku bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya. Lalu kudengar khabar tentang kamu yang mengatakan bahawa ketika kamu mendengar suatu mimpi, kamu dapat langsung mentafsirkannya.”

16Jawab Yusuf kepada Firaun, “Bukan hamba, melainkan Allah sajalah yang akan memberikan jawapan demi kesejahteraan Firaun.”

17Berkatalah Firaun kepada Yusuf, “Dalam mimpiku itu, aku sedang berdiri di tepi Sungai Nil.

18Tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang.

19Sesudah itu muncul pula tujuh ekor lembu lain, yang lemah lumpuh, sangat buruk bentuknya dan kurus kering badannya. Belum pernah aku melihat lembu seburuk itu di seluruh Tanah Mesir.

20Kemudian lembu-lembu yang kurus dan buruk itu makan tujuh ekor lembu gemuk yang mula-mula muncul tadi.

21Namun begitu sekalipun telah makan lembu-lembu yang gemuk itu, masih tiada tanda-tanda bahawa lembu-lembu gemuk itu sudah menjadi makanan kerana bentuk lembu-lembu yang kurus kering itu tetap buruk seperti pada mula-mulanya. Lalu aku pun terjaga.

22Dalam mimpiku selanjutnya kelihatan tujuh bulir gandum yang berisi dan baik tumbuh pada satu batang.

23Setelah itu, tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur.

24Lalu bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang baik. Semua ini telah kuceritakan kepada para ahli ilmu ghaib, tetapi tiada seorang pun yang dapat memberitahu ertinya kepadaku.”

25Maka berkatalah Yusuf kepada Firaun, “Mimpi-mimpi Firaun itu sama. Allah memberitahu Firaun apa yang hendak dilakukan oleh-Nya.

26Tujuh ekor lembu yang baik itu ertinya tujuh tahun, dan tujuh bulir gandum yang baik itu pun ertinya tujuh tahun. Jadi, kedua-dua mimpi itu sama.

27Tujuh ekor lembu kurus dan buruk yang muncul kemudian ertinya tujuh tahun, demikian juga tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur itu. Itulah tanda akan berlaku tujuh tahun bencana kebuluran.

28Inilah maksud dari apa yang hamba sampaikan tadi kepada Firaun, iaitu bahawa Allah telah menyatakan kepada Firaun apa yang hendak dilakukan-Nya.

29Sesungguhnya, akan datang tujuh tahun kelimpahan besar di seluruh Tanah Mesir,

30tetapi sesudah itu akan muncul tujuh tahun bencana kebuluran. Segala kelimpahan sebelumnya di Tanah Mesir akan dilupakan, dan bencana kebuluran itu akan memusnahkan negeri ini.

31Kelimpahan yang pernah dialami di negeri ini tidak akan diingat lagi, kerana bencana kebuluran yang datang sesudahnya sangatlah dahsyat.

32Mimpi itu diulang sampai dua kali untuk Firaun kerana hal itu sudah ditetapkan Allah dan Allah akan melaksanakannya dengan seberapa segera.

33Maka sekarang, sebaiknya Firaun mencari seorang yang arif dan bijaksana, dan mengangkatnya untuk mengetuai Tanah Mesir.

34Selanjutnya hendaklah Firaun melantik para pengawas atas negeri ini untuk mengambil satu perlima bahagian daripada hasil Tanah Mesir dalam tujuh tahun kelimpahan itu.

35Mereka harus mengumpulkan semua bahan makanan dalam tahun-tahun baik yang akan datang itu dan menyimpan gandum di bawah kekuasaan Firaun sebagai bahan makanan di kota-kota, serta menjaganya.

36Bahan makanan itu akan menjadi persediaan untuk negeri ini menghadapi tujuh tahun bencana kebuluran yang akan terjadi di Tanah Mesir, supaya negeri ini tidak binasa akibat bencana kebuluran itu kelak.”

Yusuf diangkat menjadi pentadbir di Mesir

37Usul itu dipandang baik oleh Firaun dan semua pegawainya.

38Lalu kata Firaun kepada para pegawainya, “Bolehkah kita mencari orang seperti itu, yang dipenuhi kehadiran roh Allah?”

39Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Kerana Allah telah menyatakan kepadamu semua hal ini, tentunya tidak ada orang yang sedemikian arif dan bijaksana seperti kamu.

40Kamu akan mengetuai istanaku, dan seluruh rakyatku harus tunduk kepada pentadbiranmu. Hanya takhta ini yang membuat aku lebih besar daripada kamu.”

41Kata Firaun lagi kepada Yusuf, “Dengan ini aku mengangkat kamu untuk mentadbir seluruh Tanah Mesir.”

42Kemudian Firaun mencabut cincin daripada jari tangannya dan memakaikannya di jari Yusuf. Dipakaikannya pula pakaian daripada kain linen yang halus pada Yusuf, serta dikalungkannya kalung emas di lehernya.

43Dia memerintahkan orang untuk menaikkan Yusuf atas ratanya yang kedua, dan di hadapan Yusuf orang berseru, “Berlutut!” Demikianlah Yusuf diberi kuasa pentadbiran atas seluruh Tanah Mesir.

44Firaun berkata kepada Yusuf, “Akulah Firaun, tetapi tanpa keizinanmu tiada seorang pun boleh melakukan sesuatu di seluruh Tanah Mesir.”

45Firaun mengurniakan gelaran Zafnat-Paaneah kepada Yusuf, serta memberikan kepadanya Asnat, anak gadis Potifera, imam di On, untuk menjadi isterinya. Maka berkuasalah Yusuf atas seluruh Tanah Mesir.

46Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia menghadap Firaun, raja Mesir. Kemudian Yusuf pergi dari hadapan Firaun dan menjelajah ke seluruh Tanah Mesir.

47Selama tujuh tahun kelimpahan itu, negeri itu mendapat hasil tuaian yang melimpah ruah.

48Yusuf mengumpulkan semua bahan makanan berlebihan dalam tempoh tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu dan menimbunnya di kota-kota. Di setiap kota ditimbunnya bahan makanan, hasil daripada ladang-ladang di sekeliling kota itu.

49Demikianlah Yusuf menyimpan gandum sangat banyak sekali, sebanyak pasir di laut, hingga dia berhenti menghitungnya kerana memang tidak terhitung lagi.

50Sebelum munculnya tahun bencana kebuluran itu Yusuf dikurniai dua orang anak yang dilahirkan oleh Asnat, anak Potifera, imam di On itu.

51Yusuf menamai anak sulungnya Manasye, kerana katanya, “Allah telah membuat aku lupa akan segala kesusahanku dan akan seisi rumah ayahku.”

52Anaknya yang kedua pula dinamainya Efraim, kerana katanya, “Allah telah mengurniakan anak kepadaku di negeri aku ditimpa kesusahan.”

53Maka berakhirlah tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu

54dan muncullah tujuh tahun bencana kebuluran, seperti yang telah dikatakan oleh Yusuf. Bencana kebuluran melanda semua negeri kecuali Tanah Mesir yang tetap ada makanan.

55Ketika kebuluran juga menimpa seluruh penduduk Tanah Mesir, berserulah mereka kepada Firaun meminta makanan. Lalu kata Firaun kepada semua orang Mesir itu, “Pergilah kepada Yusuf. Lakukanlah apa yang dikatakannya kepadamu.”

56Apabila bencana kebuluran itu melanda seluruh muka bumi, Yusuf membuka semua jelapang lalu menjual gandum kepada orang Mesir, kerana hebatnya bencana kebuluran itu di Tanah Mesir.

57Maka warga setiap negeri juga datang ke Mesir untuk membeli gandum daripada Yusuf lantaran begitu hebat kebuluran yang melanda seluruh bumi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 41 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel