Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 49 >> 

Kata-kata terakhir Yakub kepada anak-anaknya

1Maka Yakub memanggil anak-anaknya dan berkata, “Berkumpullah kamu, aku akan memberitahu kepadamu apa yang akan terjadi kepada kamu pada kemudian hari.

2Berkumpullah dan dengarlah, hai para anak Yakub, dengarlah pesan Israel, ayahmu.

3Ruben, kamulah anakku yang sulung, kekuatanku dan permulaan keperkasaanku, terunggul dalam keluhuran, terunggul dalam kegagahan.

4Kamu, yang meluap seperti air, tidak lagi menjadi yang terunggul, kerana kamu telah menaiki peraduan ayahmu, kemudian menodainya. Dia telah menaiki tempat tidurku!

5Simeon dan Lewi, adik beradik, pedang mereka senjata kekerasan.

6Jangan ikut dalam permuafakatan mereka, wahai jiwaku, jangan bersekutu dengan perkumpulan mereka, wahai batinku, kerana dalam amarah mereka membunuh orang, dan dalam angkara mereka melumpuhkan lembu-lembu jantan.

7Terkutuklah kemarahan mereka yang sebegitu bengis, terkutuklah keberangan mereka yang sebegitu ganas. Aku akan membahagi-bahagikan mereka antara anak Yakub, dan menyebarkan mereka antara anak Israel.

8Yehuda, kamu akan dipuji oleh para saudaramu. Tanganmu akan mencengkam tengkuk para musuhmu, dan para anak ayahmu akan tunduk kepadamu.

9Yehuda, kamu laksana seekor anak singa. Kamu naik meninggalkan mangsa, hai anakku. Dia merunduk, mendekam seperti singa jantan atau singa betina; siapakah yang berani merangsangkannya?

10Cokmar kuasa tidak akan berpindah daripada Yehuda, mahupun tongkat kerajaan daripada di antara kakinya, hingga datang dia yang berhak atasnya; kepadanyalah bangsa-bangsa akan tunduk.

11Dia menambatkan anak keldainya pada pokok anggur, dan keldai jantan mudanya pada pokok anggur pilihan. Dia membasuh pakaiannya dengan air anggur, dan jubahnya dengan cairan buah anggur.

12Merahlah matanya kerana air anggur, dan putihlah giginya kerana susu.

13Zebulon akan mendiami kawasan di tepi laut dan akan menjadi pelabuhan bagi kapal-kapal, dan perbatasannya akan sampai ke Sidon.

14Isakhar bagai seekor keldai yang tegap, merunduk di antara dua kantung pelana.

15Apabila dia terlihat tempat rehat yang baik dan sebuah negeri yang menyenangkan, dia akan membongkokkan bahunya untuk memikul beban lalu menjadi buruh paksa.

16Dan akan mengadili bangsanya sebagai salah satu suku orang Israel.

17Semoga Dan menjadi seperti ular di tepi jalan, seperti ular bertanduk di sisi lorong yang memagut tumit kuda, sehingga penunggangnya jatuh tertelentang.

18Aku menantikan pembebasan daripada-Mu, ya TUHAN.

19Gad akan diserang oleh gerombolan penjarah, tetapi dia akan menyerang tumit mereka.

20Asyer, makanannya mewah dan berlimpah ruah, dia akan menyajikan santapan nikmat kepada para raja.

21Naftali bagaikan seekor rusa betina yang terlepas; indah-indah ucapan yang dikeluarkannya.

22Yusuf bagai cabang yang sarat berbuah, cabang sarat berbuah dekat mata air yang ranting-rantingnya berjulai melintasi tembok.

23Para pemanah memberikan kesusahan kepadanya, memanahnya, dan menganiayainya.

24Namun demikian, busurnya terus tegap bertahan, dan lengan kedua-dua belah tangannya tetap mahir membidik, dengan tangan Yang Maha Perkasa, Allah Yakub, kerana Sang Gembala, Batu Pejal Israel,

25kerana Allah ayahmu, yang akan menolong kamu, dan kerana Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatimu dengan berkat daripada langit di atas, dengan berkat daripada samudera yang terhampar di bawah, dengan berkat daripada payudara dan rahim.

26Berkat ayahmu melebihi berkat nenek moyangku, mengatasi batas bukit-bukit yang malar hidup. Kesemuanya akan turun ke atas kepala Yusuf, ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudaranya.

27Benyamin bagai seekor serigala yang rakus, pada pagi hari dia memakan mangsanya, dan pada petang hari dia membahagi-bahagikan hasil penjarahannya.”

Yakub meninggal dan dimakamkan

28Itulah kesemua suku Israel, jumlahnya dua belas, dan itulah yang dikatakan ayah mereka kepada mereka ketika dia mendoakan keberkatan bagi mereka, iaitu berkat yang khusus dan sewajarnya bagi setiap orang.

29Setelah itu berpesanlah Yakub kepada mereka, “Tidak lama lagi aku akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurku. Makamkanlah aku di sisi nenek moyangku di dalam gua di ladang Efron, bani Het itu,

30iaitu gua di ladang Makhpela, sebelah timur Mamre, di Tanah Kanaan. Gua itu dibeli oleh Abraham sekali gus dengan ladangnya daripada Efron, bani Het, untuk dijadikan permakaman khusus miliknya.

31Di sanalah Abraham dan Sarah, isterinya dimakamkan, demikian pula Ishak dan Ribka isterinya. Di sana jugalah aku memakamkan Lea.

32Ladang dan gua yang ada di dalamnya sudah dibeli daripada bani Het.”

33Setelah Yakub selesai berpesan kepada anak-anaknya, dia pun menarikkan kedua-dua belah kakinya ke atas tempat tidur. Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu terkumpullah dia bersama-sama para leluhurnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 49 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran