Doa Minta Penyembuhan
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. (41-2) Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang tidak berdaya; TUHAN akan menolong mereka ketika mereka dalam kesusahan.
2(41-3) TUHAN akan melindungi dan memelihara mereka, TUHAN akan membahagiakan mereka di negeri ini; TUHAN tidak akan menyerahkan mereka kepada musuh.
3(41-4) TUHAN akan menolong mereka ketika mereka sakit dan memulihkan kesihatan mereka.
4(41-5) Aku berkata, "Ya TUHAN, aku telah berdosa terhadap-Mu; kasihanilah aku dan sembuhkanlah aku!"
5(41-6) Musuhku mengumpat aku. Mereka mahu aku mati dan dilupakan.
6(41-7) Mereka yang mengunjungi aku tidak ikhlas; mereka mengumpulkan segala berita yang buruk tentang aku, lalu keluar dan menyebarkannya ke mana-mana.
7(41-8) Semua orang yang membenci aku berbisik-bisik tentang diriku, mereka memikirkan yang paling buruk tentang aku.
8(41-9) Mereka berkata, "Dia sakit teruk sekali dan tidak akan bangun dari katilnya lagi."
9(41-10) Bahkan sahabat karibku yang paling aku percayai, orang yang makan bersama-samaku, telah menentang aku.
10(41-11) Kasihanilah aku, ya TUHAN, dan pulihkanlah kesihatanku, agar aku dapat membalas musuh-musuhku.
11(41-12) Maka tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku, kerana musuhku tidak akan mengalahkan aku.
12(41-13) Engkau akan menolong aku, kerana ketulusanku; Engkau membolehkan aku berada di hadirat-Mu selama-lamanya.
13(41-14) Marilah kita memuji TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya. Amin! Amin!