Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Petrus 2 >> 

Guru-Guru Palsu

1Pada masa lampau, nabi-nabi palsu muncul di kalangan umat Allah. Demikian juga guru-guru palsu akan muncul di kalangan kamu. Mereka akan menyebarkan ajaran yang tidak benar dan yang membinasakan. Mereka akan menyangkal Yesus Kristus, Penguasa yang sudah menyelamatkan mereka. Dengan demikian mereka mendatangkan kebinasaan yang akan menimpa diri mereka dengan tiba-tiba.

2Meskipun demikian, banyak orang akan mengikut cara hidup guru-guru palsu yang melakukan perbuatan cabul. Perbuatan mereka itu menyebabkan orang menghina Jalan Benar kepada Allah.

3Guru-guru palsu ini tamak; mereka mencari keuntungan dengan jalan menceritakan cerita-cerita rekaan mereka sendiri kepada kamu. Sejak dahulu Allah telah menjatuhkan hukuman kepada mereka, dan kebinasaan yang telah ditetapkan-Nya menunggu-nunggu mereka.

4Malaikat-malaikat berdosa pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia membuang mereka ke dalam neraka. Di situ mereka dirantai di tempat yang gelap sehingga Hari Pengadilan.

5Dunia zaman dahulu pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia mendatangkan air bah kepada orang derhaka zaman itu. Hanya Nuh dan tujuh orang lain yang diselamatkan-Nya, kerana Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Allah.

6Allah menghukum kota Sodom dan Gomora; Dia memusnahkannya dengan api, supaya menjadi contoh tentang apa yang akan berlaku terhadap orang derhaka.

7Tetapi Allah menyelamatkan Lot, seorang baik yang bersusah hati kerana perbuatan cabul orang jahat di situ.

8Lot yang baik itu hidup di kalangan mereka, dan hari demi hari batinnya terseksa kerana melihat dan mendengar perbuatan mereka yang jahat itu.

9Demikianlah Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan,

10terutamanya mereka yang menuruti keinginan hawa nafsu yang kotor, dan mereka yang menghina kekuasaan Allah. Guru-guru palsu ini tidak tahu malu dan sombong. Mereka tidak menghormati makhluk-makhluk mulia di syurga; sebaliknya mereka menghina semua makhluk itu.

11Sedangkan malaikat-malaikat yang jauh lebih kuat dan berkuasa daripada guru-guru palsu itu, tidak menuduh makhluk-makhluk itu di hadirat Tuhan dengan kata-kata hinaan.

12Tetapi guru-guru palsu itu seperti binatang buas yang lahir untuk ditangkap dan dibunuh; mereka bertindak menurut naluri sahaja. Dengan kata-kata hinaan mereka menyerang perkara-perkara yang tidak difahami. Mereka akan dibinasakan seperti binatang buas.

13Mereka akan menderita kesengsaraan, kerana menyebabkan orang lain menderita kesengsaraan. Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu.

14Mereka suka memandang wanita dengan perasaan berahi, dan nafsu mereka untuk berdosa tidak dapat dipuaskan. Orang yang lemah iman diperangkap oleh mereka. Hati mereka dikuasai ketamakan. Mereka dikutuk Allah!

15Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat. Mereka mengambil jalan yang diikuti oleh Bileam anak Beor dahulu. Bileam ingin sekali mendapat wang daripada perbuatannya yang jahat.

16Bileam mendapat teguran kerana dosanya itu. Keldainya bercakap dengan suara manusia dan menghentikan Bileam daripada perbuatannya yang bodoh.

17Guru-guru palsu itu seperti mata air yang kering dan seperti awan yang ditiup oleh ribut. Allah sudah menyediakan suatu tempat yang sangat gelap untuk mereka.

18Mereka membuat kenyataan yang sombong dan bodoh, serta menggunakan nafsu cabul untuk menjerumuskan orang yang baru sahaja terlepas daripada kalangan orang yang hidup sesat.

19Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu diperhamba oleh kebiasaan yang membinasakan. Hal itu demikian, kerana seseorang yang dikalahkan, menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.

20Orang yang mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, sudah terlepas daripada kuasa dunia yang mencemarkan manusia. Tetapi jika kemudian mereka ditawan semula dan dikalahkan oleh kuasa-kuasa tersebut, keadaan mereka menjadi lebih buruk daripada sebelum mengenal Kristus.

21Lebih baik orang seperti itu tidak pernah mengenal cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, daripada mereka mengenalnya lalu tidak mahu mentaati perintah yang diberikan oleh Allah.

22Apa yang berlaku kepada mereka membuktikan bahawa peribahasa ini benar, "Anjing akan makan semula apa yang sudah dimuntahkannya," dan "Babi yang sudah dimandikan, akan bergulingan semula di lumpur."


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (2 Petrus 2):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  2 Petrus 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel