Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 89 >> 

1Renungan Etan, orang Ezrahi. Aku akan menyanyi tentang kasih TUHAN selama-lamanya; dengan mulutku akan kuceritakan kesetiaan-Mu kepada semua keturunan zaman-berzaman.

2Kerana aku telah berkata, “Kasih-Mu akan kekal selama-lamanya, kesetiaan-Mu akan Kauteguhkan hingga ke langit.”

3Engkau berkata, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang yang Kupilih, Aku telah berjanji kepada hamba-Ku Daud,

4‘Benihmu akan Kuteguhkan selama-lamanya dan takhtamu akan Kupeliharakan untuk keturunanmu zaman-berzaman.’ ” Sela

5Seisi langit akan memuji keajaiban-Mu, ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga dalam perhimpunan orang yang hidup suci.

6Kerana siapa di langit yang dapat dibandingkan dengan TUHAN? Siapa antara anak orang berkuasa dapat disamakan dengan TUHAN?

7Allah amat ditakuti dalam perhimpunan orang yang hidup suci; dan amat dihormati oleh semua yang di sekeliling-Nya.

8Ya TUHAN, Allah alam semesta, siapakah yang berkuasa seperti-Mu? Ya TUHAN, kesetiaan-Mu juga di sekeliling-Mu.

9Engkau menguasai gelora laut; apabila gelombangnya tinggi, Engkau menenangkannya.

10Engkau telah meremukkan Rahab, seperti manusia yang dibunuh; Engkau telah menyebabkan musuh-Mu bertempiaran dengan lengan-Mu yang perkasa.

11Langit milik-Mu, bumi juga milik-Mu; dunia dengan segala isinya, Engkau yang menjadikannya.

12Utara dan selatan, Engkau yang menciptanya; Gunung Tabor dan Hermon bergembira dengan nama-Mu.

13Engkau mempunyai lengan yang perkasa; tangan-Mu kuat dan tangan kanan-Mu tinggi.

14Perbenaran dan keadilan adalah asas takhta-Mu; kasih dan kesetiaan berjalan di hadapan-Mu.

15Diberkatilah orang yang mengenal bunyi bahagia itu, mereka melangkah, ya TUHAN, dalam cahaya wajah-Mu.

16Dengan nama-Mu mereka bergembira sepanjang hari; dan dalam perbenaran-Mu mereka ditinggikan.

17Kerana Engkau kemuliaan kekuatan mereka, dan dengan keredaan-Mu tanduk kami ditinggikan.

18Perisai kami milik TUHAN, dan raja kami milik Yang Maha Suci Allah TUHAN Israel.

19Kemudian Engkau berfirman melalui satu penglihatan kepada orang warak-Mu: “Aku telah memberi pertolongan kepada seorang yang perkasa; Aku telah mengangkat tinggi seorang yang dipilih daripada kalangan umat.

20Aku telah menemui hamba-Ku Daud; dengan minyak suci-Ku telah Kuurapi dia.

21Dengannya tangan-Ku akan diteguhkan; dan lengan-Ku akan menguatkan dia.

22Musuh tidak akan dapat memperdayanya; dan anak kedurjanaan tidak akan dapat menyakitinya.

23Aku akan menumbangkan musuhnya di hadapan matanya dan menyeksa mereka yang membencinya.

24Kesetiaan-Ku dan kasih-Ku akan menyertainya, dan dengan nama-Ku tanduknya akan ditinggikan.

25Juga Aku akan meletakkan laut di bawah tangannya, dan sungai-sungai di bawah tangan kanannya.

26Dia akan berseru kepada-Ku, ‘Engkau Bapaku, Allahku, dan Batu Pejal, Penyelamatku.’

27Aku juga akan menjadikannya anak sulung-Ku, tertinggi antara raja-raja di bumi.

28Kasih-Ku akan Kuperuntukkan baginya untuk selama-lamanya, dan perjanjian-Ku akan berdiri teguh dengannya.

29Benihnya juga akan Kukekalkan selama-lamanya, dan takhtanya berterusan seperti syurga.

30“Jika anak cucunya meninggalkan hukum-Ku dan tidak hidup mengikut peraturan-Ku,

31jika mereka melanggar ketetapan-Ku dan tidak mematuhi perintah-perintah-Ku,

32Maka Aku akan menghukum keingkaran mereka dengan gada, dan dosa mereka dengan cemeti;

33namun demikian, kasih-Ku tidak akan Kutarik sepenuhnya daripada mereka, dan kesetiaan-Ku tidak akan Kubiarkan lupus.

34Perjanjian-Ku tidak akan Kumungkiri dan Aku tidak akan mengubah firman yang telah terbit daripada bibir-Ku.

35Aku telah bersumpah demi kesucian-Ku – maka Aku tidak akan berdusta kepada Daud –

36benihnya akan kekal selama-lamanya dan takhtanya seperti matahari di hadapan-Ku;

37bertapak selama-lamanya seperti bulan, seperti saksi setia di langit.” Sela

38Tetapi Engkau telah menyingkirkan dan membenci, Engkau telah murka akan orang yang Kauurapi.

39Engkau telah membatalkan perjanjian dengan hamba-Mu; Engkau telah mencemarkan mahkotanya dengan menghumbankannya ke tanah.

40Engkau telah memecahkan semua pagarnya; Engkau telah meranapkan semua bentengnya.

41Semua orang yang lalu-lalang menyamun dia; dia menjadi celaan jiran-jirannya.

42Engkau telah mengangkat tinggi tangan kanan seterunya; Engkau telah menyebabkan semua musuhnya bergembira.

43Engkau telah membengkokkan hujung pedangnya dan tidak menyokongnya dalam pertempuran.

44Engkau telah meluputkan kemuliaannya dan melontarkan takhtanya ke tanah.

45Usia mudanya telah Kausingkatkan; Engkau telah memalukannya. Sela

46Betapa lama, ya TUHAN? Adakah Engkau akan menyembunyikan diri-Mu selama-lamanya? Adakah kemurkaan-Mu akan terus menyala seperti api?

47Ingatlah betapa singkat usiaku. Adakah Engkau telah mencipta anak-anak manusia untuk hidup sia-sia?

48Manusia manakah dapat hidup dan tidak menemui maut, dapatkah dia melepaskan nyawanya daripada kuasa kubur? Sela

49Ya Tuhan, di manakah kasih-Mu yang dahulu, yang telah Kaujanjikan kepada Daud dalam kesetiaan-Mu?

50Ingatlah, ya Tuhan, celaan terhadap hamba-hamba-Mu, betapa dadaku menanggung celaan daripada segala bangsa,

51musuh-Mu telah mencela, ya TUHAN, mereka telah mencela jejak langkah orang yang telah Kauurapi.

52Pujilah TUHAN selama-lamanya! Amin, Amin.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 89 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2021
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran