1Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu.
2Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, “Di mana Allah mereka?”
3Namun Allah kami di syurga; Dia melakukan apa yang disukai-Nya.
4Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.
5Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata, ada mata, tetapi tidak melihat;
6ada telinga, tetapi tidak mendengar, ada hidung, tetapi tidak menghidu;
7ada tangan, tetapi tidak memegang, ada kaki, tetapi tidak berjalan; juga tidak bersuara dari kerongkongnya.
8Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga semua yang percaya kepadanya.
9Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
10Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
11Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya – Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
12TUHAN ingat kepada kita, Dia akan memberkati kita: Dia akan memberkati keturunan kaum Israel, Dia akan memberkati keturunan kaum Harun,
13Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN – baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.
14Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan, kamu dan anak-anakmu.
15Semoga kamu diberkati oleh TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi.
16Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN, tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.
17Orang mati tidak memuji TUHAN, orang yang sudah turun ke alam sunyi;
18tetapi kita akan menyanjung TUHAN, dari saat ini dan untuk selama-lamanya. Pujilah TUHAN!